Prinsip Al-Quran Tentang Kesantunan Bahasa

13 12 2009

*Nota : Makalah ini telah diterbitkan dalam Pelita Bahasa, DBP keluaran Disember 2009.

PRINSIP-PRINSIP AL-QURAN TENTANG KESANTUNAN BAHASA

OLEH : MOHD NAZELI BIN AHMAD

Kata “bahasa” mempunyai banyak makna. Bahasa bukan sekadar membawa maksud sistem lambang bunyi suara yang dipakai sebagai alat perhubungan dalam lingkungan satu kelompok manusia dan antara individu dengan individu yang lain. Kata “bahasa” juga merupakan simpulan  bahasa yang membawa maksud “sopan santun”.  Jadi, membicarakan bahasa tanpa menyentuh aspek kesantunan bahasa merupakan satu kelompangan yang tidak seharus dan sewajarnya  berlaku, lebih-lebih lagi bahasa Melayu yang mempunyai falsafah kesopanan  yang tinggi yang didasarkan oleh falsafah budi dalam masyarakat Melayu dan akidah Islam yang dianutinya.

Rentetan daripada itu, melihat dan membicarakan bahasa dalam konteks  kesantunan berbahasa, para sarjana bahasa tempatan seperti Asmah Omar  menyentuh aspek ini dalam buku Setia dan santun bahasa dan Awang Sariyan melalui buku beliau iaitu Santun berbahasa. Namun begitu asas kesantunan bahasa juga ditunjangi oleh agama diutarakan oleh Awang Sariyan.

Makalah ini akan mengutarakan prinsip-prinsip kesantunan bahasa menurut al-Quran. Al-Quran ialah kitab suci yang diturunkan oleh Allah kepada Nabi Muhammad SAW untuk dijadikan panduan hidup manusia untuk dunia dan akhirat. Muhammad ‘Ali al-Sabuni memberi takrif al-Quran ialah kalam Allah yang diturunkan ke atas Nabi Muhammad s.a.w. Khatam al-Anbia’ wa al-Mursalin yang mempunyai mukjizat, membacanya sebagai satu ibadat yang termaktub dalam mushaf-mushaf dan dipindahkan kepada kita secara yang mutawatir, dimulakan dengan surah al-Fatihah dan disudahi dengan surah al-Nas.

Santun menurut Kamus dewan edisi keempat ialah halus budi bahasa atau budi pekerti, beradab dan  sopan, manakala kesantunan ialah perihal atau sifat kesopanan, kehalusan budi bahasa atau budi pekerti. Menurut Awang Sariyan dalam bukunya Santun berbahasa, kesantunan bahasa “merujuk kepada penggunaan bahasa yang baik, sopan beradab, memancarkan peribadi mulia dan menunjukkan penghormatan kepada pihak yang menjadi teman bicaranya”.

Sebagai rumusannya,  prinsip-prinsip al-Quran tentang kesantunan bahasa ialah dasar-dasar dan hukum-hukum al-Quran dalam mengemukakan panduan dan pedoman dalam aspek penggunaan bahasa yang baik, sopan, beradab, memancarkan peribadi mulai dan menunjukkan penghormatan kepada pihak yang menjadi teman bicara.

Menurut Awang Sariyan lagi , “kesantunan bahasa diukur dengan berdasarkan kepatuhan kepada peraturan yang terdapat dalam bahasa sesuatu masyarakat. Setiap masyarakat atau bangsa mempunyai peraturan bahasa masing-masing”. Justeru, jika dipadankan kepada pendapat ini dapatlah dibuat kesimpulan bahawa kesantunan berbahasa akan dijuruskan kepada kesantunan berbahasa mengikut prinsip Islam yang kemukakan oleh Allah SWT dalam al-Quran.

Prinsip utama agama Islam dalam kesantunan bahasa berkait rapat dengan dua peranan utama manusia iaitu menyeru kebaikan dan mencegah kemungkaran. Sejajar dengan itu, mesej yang meliputi ajaran, nasihat, serta teguran yang dikemukakan perlulah baik dan meninggalkan kesan seperti yang diharapkan serta tidak menimbulkan kemarahan, kebencian dan permusuhan. Begitu juga kesantunan berbahasa juga menyentuh hubungan dengan Allah dan manusia iaitu hubungan dengan ibu bapa, jiran tetangga dan manusia keseluruhan.

Pada sisi lain, kesantunan bahasa berasaskan agama inilah menjadi titik tolak kepada kesantunan berbahasa yang sebenar kerana agama telah mengemukakan sejumlah besar prinsip kesantunan khususnya dalam aspek komunikasi bahasa.

Awang Sariyan mengemukakan takrif kesantunan berbahasa adalah penggunaan bahasa yang baik, sopan, beradab, memancarkan peribadi mulai dan menunjukkan penghormatan kepada pihak yang menjadi teman bicara. Prinsip utama agama Islam dalam kesantunan bahasa berkait rapat dengan dua peranan manusia sebagai khalifah iaitu memberi ajaran, nasihat, serta teguran yang dikemukakan perlulah baik dan meninggalkan kesan seperti yang diharapkan serta tidak menimbulkan kemarahan, kebencian dan permusuhan serta bahasa sebagai asas hubungan dengan Allah dan manusia iaitu hubungan dengan ibu bapa, jiran tetangga dan manusia keseluruhan. Al-Quran sebagai kitab suci yang lengkap dan mencakupi semua aspek ada mengemukakan prinsip-prinsip kesantunan berbahasa.

“Tidak ada suatu kata yang diucapkannya melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang selalu siap (mencatatkan)”

Surah Qaf 50:18

Berdasarkan kepada ayat di atas, al-Quran mengemukakan prinsip bertanggungjawab menjaga lidah sebagai asas kesantunan bahasa. Lidah merupakan alat utama untuk bercakap. Bertanggungjawab menjaga lidah merupakan asas utama kesopanan berkomunikasi. Setiap individu  mempunyai tanggungjawab menjaga lidah dengan mengucapkan perkataan yang baik dan untuk tujuan kebaikan. Hal ini kerana dengan bertanggungjawab menjaga lidah seseorang itu akan berfikir panjang natijah dan implikasi pertuturan sama ada memperoleh pahala atau dosa dalam konteks hubungan dengan Allah SWT dan memberi kemaslahatan dalam konteks hubungan dengan manusia  agar tidak membawa permusuhan dan kebencian.

“maka berbicaralah kamu berdua kepadanya (Fir’aun) dengan kata-kata yang lemah lembut, mudah-mudahan dia sedar dan takut”.

Surah Taha 20:44

Berbicara dengan lemah lembut merupakan prinsip al-Quran tentang kesantunan berbahasa. Berdasarkan mafhum ayat di atas, kesantunan bahasa berpaksikan kaedah pertuturan iaitu dengan lemah lembut kepada sasaran pertuturan iaitu manusia sekalipun mereka mengingkari Allah SWT. Arahan ini memang jelas agar kita menyampaikan mesej dakwah selaku tanggungjawab kita sebagai khalifah Allah SWT.

Prinsip bercakap dengan lemah lembut ini juga ditegaskan dalam mafhum ayat al-Quran surah ali-Imran 3:159 iaitu:

“Maka disebabkan rahmat Allah engkau berlaku lemah lembut terhadap mereka. Sekiranya engkau bersikap kasar dan berhati keras tentulah mereka menjauhkan diri dari engkau”.

Ketika menghuraikan ayat ini, Abdul Aziz Mohd Zin dalam bukunya Psikologi Dakwah menjelaskan bahawa dakwah mesti dilakukan dalam keadaan menjinakkan sasaran dengan tutur kata yang lemah lembut dan menjauhi sikap kasar kepadanya. Lemah lembut dalam pertuturan dan tindakan bermaksud elok percakapan, halus budi pekerti, baik hati dan menghormati seseorang.  Jika kita mengambil pengajaran daripada prinsip ini kita mestilah berbahasa dengan baik, mementingkan mesej dan nasihat serta menghormati teman bertutur.

“Allah tidak menyukai perkataan buruk (yang diucapkan) secara terus terang kecuali oleh orang yang dizalimi. Dan Allah Maha Mendengar, Maha Mengetahui”

Surah An-Nisa 4:148

Al-Quran juga mengemukakan prinsip dengan melarang mengeluarkan perkataan yang buruk. Perkataan yang buruk iaitu perkataan yang jahat dan  tidak baik  seperti menghina, mencarut, mengeluarkan kata-kata kesat dan sebagainya. Antara sifat yang dilarang dalam hubungan sosial ialah menyeranah orang lain tanpa usul periksa, tidak dibenarkan menggunakan bahasa kesat atau kotor, tidak dibenarkan mencemuh atau menghina orang lain dalam percakapannya. Penggunaan bahasa yang baik, sopan, beradab, memberi nasihat, serta teguran yang dikemukakan perlulah baik dan meninggalkan kesan seperti yang diharapkan serta tidak menimbulkan kemarahan, kebencian dan permusuhan manusia keseluruhan.

Jika kamu menyatakan sesuatu kebajikan, menyembunyikannya atau memaafkan sesuatu kesalahan (orang lain), maka sungguh, Allah Maha Pemaaf, Maha Kuasa.”

Surah An-Nisa 4:149

Prinsip kesantunan bahasa yang dikemukakan oleh al-Quran adalah memaafkan. Memaafkan merupakan strategi komunikasi yang melambangkan seseorang itu berjiwa besar, berlapang dada dan memancarkan peribadi yang baik dan terpuji.  Memaafkan bermaksud merelakan untuk melepaskan dan membebaskan kesalahan dan kesilapan seseorang. Dalam konteks ini, memberi kemaafan kepada seseorang yang melakukan keburukan kepada kita adalah sifat yang terpuji baik musuh mahupun sahabat karib. Sebagai rumusannya, prinsip memafkan akan membina hubungan baik dengan teman bertutur dan menjalin hubungan erat dalam kehidupan bermasyarakat.

Antara prinsip yang dikemukakan oleh al-Quran dalam kesantunan berbahasa ialah prinsip hikmah dan pengajaran yang baik.  Hal ini  bertepatan dengan mafhum firman Allah SWT  Surah an-Nahl 16:125

“Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan pengajaran yang baik”.

Hikmah menurut Kamus dewan edisi keempat ialah kebijaksanaan daripada Allah, kecerdikan, rahsia kelebihan atau tujuan sebenar di sebalik sesuatu perkara, kejadian, hal dan sebagainya. Lantaran itu, kebijaksanaan dan pengajaran ini merupakan asas kesantunan bahasa. Orang yang bijaksana merupakan manusia yang berperibadi mulia dan mengutamakan kemaslahatan, kebaikan dan kesejahteraan dalam hubungan sesama manusia. Begitu juga dengan  pengajaran yang baik merupakan mesej yang ingin disampaikan kepada teman bicara. Dalam konteks ini, tanggungjawab sebagai khalifah Allah SWT, menjalankan dakwah dan melaksanakan amanah merupakan kewajiban seseorang muslim kepada agamanya. Melalui ayat tersebut, Allah SWT menerangkan bahawa komunikasi dakwah hendaklah dilakukan dengan cara hikmah, nasihat yang baik dan berbincang dengan cara yang betul.  Natijahnya, prinsip hikmah dan pengajaran yang baik menepati ciri-ciri bahasa yang baik, mesej nasihat dan didikan serta memancarkan peribadi yang mulia dalam pertuturan. Seterusnya, ianya juga menepati dengan  dalam melaksanakan tugas dakwah dan khalifah di muka bumi ini.

Kecerahan dan kejelasan  menjadi salah satu prinsip al-Quran tentang kesantunan bahasa. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT melalui ayat dalam surah an-Nahli 16:35 yang bermaksud :

“maka tidak ada kewajipan ke atas rasul-rasul, selain dari menyampaikan agama Allah dengan terang nyata”.

Ayat di atass jelas menunjukkan bahawa antara tanggungjawab para rasul adalah menyampaikan agama Allah dengan terang dan nyata. Prinsip kecerahan dan kejelasan ini perlu kerana fikiran manusia akan menjadi kacau ketika berhadapan dengan kesamaran dan perkara yang sukar difahami. Dalam kesantunan bahasa, Islam memaparkan akhlak yang jelas, yang disukai oleh fitrah manusia iaitu akhlak yang baik, dan mencegah setiap yang buruk dan merosakkan.

Selanjutnya, prinsip kesantunan bahasa yang digariskan oleh al-Quran adalah menggunakan bahasa yang sesuai dan baik. Antara ayat al-Quran yang menyarankan perkara ini ialah :

“… dan katakanlah kepada hamba-hamba-Ku, hendaklah mereka mengucapkan perkataan yang baik …”

Surah al-Isra’ 17:53.

“… dan ucapkanlah kata-kata yang baik kepada manusia.”

Surah al-Baqarah 2:83

“… dan katakanlah kepada mereka perkataan yang baik.”

Surah an-Nisaa 4:8

Kesemua ayat di atas menganjurkan perkataan yang baik sebagai asas kesantunan berbahasa baik pertuturan mahupun penulisan. Islam amat menitikberatkan penggunaan perkataan dan bahasa yang baik ketika berkomunikasi. Ibu bapa pula perlu mendidik dan mengajar anak-anak tentang etika pertuturan sebagai mana yang digariskan oleh agama. Anak-anak yang dibesarkan dalam keluarga dan masyarakat yang  pincang lazimnya gemar menggunakan perkataan keji dan kotor seperti maki hamun, kata-kata lucah dan sebagainya. Hal ini memberi panduan kepada kita agar menjaga lidah daripada menuturkan perkara yang tidak baik, keji dan buruk. Perkataan dan bahasa yang baik mencerminkan sahsiah dan peribadi mulia yang menjadi tujuan kesantunan berbahasa. Perkataan yang baik yang memancarkan peribadi mulia dan menimbulkan persefahaman dan kesejahteraan kepada lawan penuturnya.

Antara perkara yang sering dilakukan oleh lidah yang boleh mengundang bahaya yang besar kepada masyarakat ialah mengumpat. Mengumpat merupakan kata-kata yang menodai nama orang, fitnah, kata-kata mengeji, cercaan, mencela dan sebagainya. Allah memberi peringatan yang tegas supaya perkara ini dijauhkan dan menjadi salah satu prinsip al-Quran dalam kesantunan berbahasa sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud :

“Kecelakaan besar bagi tiap-tiap pencaci pengeji yang mencemuh dan merendahkan orang lain.”

Surah al-Humazah 104:1

Dalam menyentuh bab larangan mengumpat, mencela dan mengeji ini, Allah SWT telah menyenaraikan pelbagai perkara yang tidak boleh diluahkan oleh mulut seperti mencemuh, merendah, menyebut keaiban, memanggil dengan gelaran buruk, berburuk sangka kerana perkataan-perkataan buruk  seperti ini akan mengakibatkan kemurkaan Allah SWT, serta akan mengundang keburukan seperti menggugat hubungan sosial dalam masyarakat Islam dan bukan Islam.

“… dan lunakkanlah suara engkau. Sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara himar (keldai).”

Surah Luqman 31:19

Prinsip al-Quran tentang kesantunan bahasa adalah dengan menggunakan nada percakapan hendaklah terkawal dan sesuai. Suara yang lembut, lunak dan terkawal akan memberi kesan yang baik dan positif dan begitulah sebaliknya kata-kata yang bingit, keras dan melampau akan membawa kemudaratan dan menimbulkan kemarahan seseorang. Kelembutan bicara dan kelunakan suara amat berkesan dalam usaha mengubah manusia. Suara yang lunak akan menikam kalbu dan mampu mengelakkan pertentangan. Bahasa yang baik dari segi suara dan nada akan mendatangkan kebaikan dan kemaslahatan serta mampu menyampaikan mesej-mesej sama ada nasihat, teguran dan lain-lainnya berdasarkan kesesuaian nada dan suara.

“Maka apabila kamu masuk ke mana-mana rumah, hendaklah memberi salam kepada(sesiapa yang seperti) kamu dengan memohon kepada Allah cara hidup yang berkat lagi baik.

Surah an-Nur 24 :61

Berdasarkan ayat di atas, Islam mengemukakan prinsip kesantunan bahasa melalui pengucapan salam. Memberi dan menjawab salam merupakan tuntutan kepada setiap orang Islam. Sesungguhnya amalan memberi dan menjawab salam akan dapat menambah rasa cinta dan kasih sayang antara seisi keluarga dan masyarakat. Begitu indahnya ajaran Islam dalam hubungan antara manusia mestilah dimulakan dengan salam amatlah dituntut sebagaimana firman Allah SWT dalam surah an-Nisa’ 4 : 86 yang bermaksud:

“Jika engkau semua diberikan penghormatan dengan penghormatan, yakni salam, maka jawablah penghormatan atau salam dengan yan glebih baik daripadanya atau balaslah dengan yang serupa dengannya”.

Kesantunan bahasa yang digariskan melalui strategi salam sangat besar kesannya dalam membina hubungan sosial yang baik dan menjadi asas kepada perkenalan dan perhubungan yang lebih erat. Pengucapan salam merupakan penghargaan kepada seseorang dan hal ini mencerminkan peribadi mulia seseorang dalam berbahasa.

Sebagai kesimpulannya, al-Quran banyak mengemukakan prinsip kesantunan berbahasa yang meliputi segenap aspek sesuai dengan sifatnya yang syumul iaitu lengkap dan mencakupi. Bukti al-Quran lengkap dan mencakupi ialah kitab suci ini tidak mengabaikan bidang bahasa dalam mengutarakan prinsip-prinsip kesantunan bahasa.             Prinsip al-Quran tentang kesantunan berbahasa bertepatan dan relevan dalam konteks kaitannya dengan definisi santun berbahasa iaitu  kepada penggunaan bahasa yang baik, sopan beradab, memancarkan peribadi mulia dan menunjukkan penghormatan kepada pihak yang menjadi teman bicaranya. Hal ini menjadi inti pati akhlak Islam yang menjadi pokok ajaran Islam. Kesantunan berbahasa juga wajar diukur dengan berdasarkan kepatuhan kepada peraturan yang terdapat dalam bahasa sesuatu masyarakat. Setiap masyarakat atau bangsa mempunyai peraturan bahasa masing-masing khususnya  peraturan Islam yang kemukakan oleh Allah SWT dalam al-Quran. Prinsip utama ajaran Islam dalam kesantunan bahasa berkait rapat dengan dua peranan utama manusia iaitu menyeru kebaikan dan mencegah kemungkaran melalui pelbagai meliputi ajaran, nasihat, serta teguran serta tidak menimbulkan kemarahan, kebencian dan permusuhan. Begitu juga kesantunan berbahasa juga menyentuh hubungan dengan Allah dan manusia iaitu hubungan dengan ibu bapa, jiran tetangga dan manusia keseluruhan. Semua ini terdapat dalam al-Quran, bahkan kitab suci ini lebih ke depan dan menyeluruh dalam membincangkan persoalan kesantunan bahasa. Kekangan dan kelemahan manusia untuk memahami dan menerokai kitab suci ini menyebabkan banyak prinsip al-Quran tentang kesantunan bahasa tidak ditonjolkan kepada masyarakat. Sudah pasti al-Quran merupakan samudera terbentang luas yang mengandungi khazanah yang berharga yang perlu diterokai khususnya dalam aspek pengajaran dan pembelajaran bahasa.








Follow

Get every new post delivered to your Inbox.